TERUS aku rebahkan diri di atas tilam yang baru dikemaskan sebentar tadi. Keluhan malas aku lepaskan ke udara. Penat. Itu sahaja yang dapat aku tafsirkan sekarang ini. Tangan aku silangkan ke belakang kepala. Mataku menatap kosong kipas angin yang tergantung kaku di siling bilik ini. Kakiku turut disilangkan. Kaki kanan di atas kaki kiri.
Sekali lagi aku mengeluh. Tetapi kali ini lebih dalam bunyinya. Kusut fikiranku menghambat perasaan yang tidak tenang ini. Terdengar sayup suara halus berbisik menyapa di cuping telingaku. Kau pasti ini jalan yang terbaik buat kau? Kau pasrah dengan apa yang terjadi? Kau nekad dengan segalanya? Ya! Aku pasti. Aku pasrah. Aku nekad dengan kata putus yang telah dinoktahkan seminggu yang lepas. Aku lelaki. Aku perlu kuat. Aku perlu tabah mengharungi semua dugaan ini. Getus hatiku kecil.
Aku bingkas bangun. Mencapai malas telefon iPhone 5 di atas meja. Tablet pintar iPad mini dimasukkan ke dalam beg sandangku. Buku merah yang terselit sekeping tiket penerbangan digenggam kemas. Untuk kesekian kalinya mataku menatap setiap sudut apartmen yang bakal aku tinggalkan selama-lamanya ini. Adakah mungkin aku akan kembali? Persoalan yang aku sendiri tiada jawapannya. Hanya takdir dan masa yang akan menentukannya.
Perlahan-lahan pintu ditutup seperti aku mengunci segala kenangan di ruangan rumah ini. Langkahku longlai menuruni anak tangga apartmen. Seorang pakcik yang aku kira umurnya dalam lingkungan awal 40-an sedang bersandar pada kereta kuningnya. Sibuk dengan sebatang rokok yang tersisip rapi di bibirnya. Menghembus keluar kepulan asap bagai tiada apa yang patut dirunsingkan.
Dipijaknya puntung rokok itu tatkala terperasankan kehadiranku. Kesemua bagasi telah pun dipunggah masuk ke dalam bonet teksi. Aku membolosi diri ke dalam perut teksi itu. Mengambil tempat duduk di kerusi penumpang. Enjin kereta terus dihidupkan.
"Shall we go now?"
Aku hanya mampu membalas dengan anggukkan yang lemah. Kereta dipandu perlahan meninggalkan Bandar Leeds. Destinasinya hanya satu. Lapangan Terbang Antarabangsa London Heathrow.
"Au revoir Branden. Farewell my love. We're done. I'm done. This is done. I'm leaving you. For my own good. And of course it is for your own damn good; precisely."
**********
"EIMAN! EIMAN!"
Pintu kereta Perodua Kancil dihempas kuat. Keras bunyinya. Mujur cerminnya tidak retak mahupun berderai. Nafasnya kencang. Turun naik seperti kuda berlari. Merah matanya seperti menahan akan sesuatu perasaan. Melilau lelaki itu mencari Eiman Hamidi. Belum sempat dia melangkah naik ke beranda rumah, anak mata hitamnya tertacap akan sesusuk tubuh yang amat dia kenali di pangkin miliknya.
"Eiman!"
Nama itu disebut lagi. Kedengaran tegas sekali. Namun tiada jua balasan yang diterima. Hatinya menjadi semakin menyirap. Sahutannya tiada bersapa. Hanya desiran suara angin petang yang meniup pohon-pohon hijau seperti sedang memberikan kesan bunyi yang semulajadi. Sesekali kencang tiupannya. Sesekali itu juga perlahan.
Lelaki itu melajukan langkahnya. Menghampiri pangkin yang sudah usang usianya. Entah bila seutas rotan sudah berada dalam genggamannya. Ekoran matanya masih tidak lepas dari memandang tubuh kecil yang meringkuk itu. Menggigil ketakutan dari apa yang terlihat zahirnya. Esakan kecil yang bersulam sendu jelas beralun dalam sayu. Semakin kencang tangisan didengari tatkala lelaki itu terpacak disebelahnya.
Rintihan pilu itu tidak sedikit pun mampu menggetarkan amarah yang kini beraja di hatinya. Apatah lagi untuk melenyapkannya terus. Mana mungkin. Mustahil sama sekali.
"Anak kurang ajar. Tak sedar diri dek untung."
Tanpa berfikir panjang, rotan kecil di tangannya terus dihayunkan dengan laju. Tepat mengenai tubuh kecil itu. Menggelupur seluruh badan seperti cacing yang kepanasan. Terasa otot-otot badan kekejangan. Peritnya hanya Tuhan sahaja yang tahu. Redha dengan setiap libasan yang hinggap di tubuh putih itu. Hanya raungan yang kuat menjadi alunan lagu sedih.
"Abah, maafkan Eiman. Eiman janji tak akan buat lagi. Eiman janji dengan abah."
"Aku hantar kau ke sekolah. Aku bagi didikan agama. Aku bagi kasih dan sayang. Tapi bila dah besar, kau conteng arang kat muka aku." Ada sedikit kekesalan dihujung ayat lelaki itu.
"Abah, sakit. Eiman sakit abah. Eiman tak nak."
Namun rayuan itu tenggelam dalam amarah yang sudah mula menyinga. Tidak sedikit pun dia mendengar kata-kata Eiman Hamidi. Merah padam muka lelaki itu. Dia kini seperti dirasuk syaitan durjana. Merotan Eiman Hamidi tanpa belas kasihan. Terjelopok badan kecil itu mencium tanah. Dengan perlahan Eiman Hamidi merangkak mendapatkan kaki lelaki yang membahasakan dirinya abah itu. Ditahan sakit yang menyengat seluruh tubuh mulusnya.
"Abah, ampunkan Eiman. Eiman sujud di kaki abah. Eiman cium kaki abah." Menggigil bibir mungilnya menyentuh kaki abah. Lama.
"Kau bukan anak aku. Kau anak setan! Anak setan!"
Bagai halilintar membelah bumi. Bagai kilat menyambar tepat ke jantungnya. Begitulah apa yang dirasainya sekarang. Denyutan nadinya seakan terhenti. Matikah dia? Berdesing telinga Eiman Hamidi dipanah ayat itu. Aku bukan anak abah? Aku anak setan?
"Abang!"
Belum sempat kakinya menendang tubuh yang sudah hampir tidak bermaya itu, seorang perempuan muncul entah dari mana. Barangkali dari warung di hujung simpang sana yang selalu dikunjungi untuk membeli kuih. Segera perempuan itu merangkul tubuh Eiman Hamidi yang tertiarap di atas tanah. Didakap tubuh anak itu ke dalam ribaannya. Habis kotor baju dan seluar yang dipakainya dipenuhi debu.
"Eiman anak kita bang. Bukan anak setan. Seteruk mana kesalahan dia, abang tak berhak menghukum dia sampai macam ni sekali. Hampir mati abang kerjakan budak ni." Sebak melihat tubuh anak yang lembik itu.
"Lagi elok dia mampus daripada hidup memalukan keluarga. Aku tak ada anak keturunan macam dia ni. Mulai hari ni, anak aku Eiman Hamidi dah mati."
"Ya Allah, abang! Bawa mengucap abang. Istighfar banyak-banyak. Ingat Tuhan."
"Sudah. Ketepi kau. Biar aku ajar budak yang tak tahu malu ni cukup-cukup."
Perempuan itu masih kaku bersila di atas tanah. Tidak berganjak walaupun sedikit.
"Aku cakap ketepi. Dengan kau sekali nanti aku rotan." Seraya itu tangannya sudah pun naik untuk memulakan kembali libasan rotan kecil.
"Uda, bawa bertenang. Ini bukan caranya untuk menghukum Eiman. Istighfar Uda. Jangan biarkan marah kamu menguasai diri kamu. Itu semua permainan iblis laknatullah. Astaghfirullah!"
Lelaki berjubah jingga berserban kelabu itu segera memeluk tubuh tegap Uda, lelaki yang sedang menggila itu. Menghalang tindakan lelaki itu dari mencederakan anaknya lagi. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang dihembus ke telinga lelaki itu. Dengan perlahan segala tingkah lakunya menjadi lemah. Lagaknya bagaikan di kawal. Seketika kemudian, lelaki itu mula terduduk di atas tanah. Dadanya berombak. Suasana menjadi tenang.
"Kasihan aku tengok budak Eiman tu. Lembik dikerjakan abahnya."
"Nampak baik. Tapi rupanya syaitan bertopengkan manusia."
Tanpa disedari, tindakan lelaki itu sudah mendapat perhatian dari orang-orang kampung yang mula mengerumuni halaman rumahnya itu. Ada yang memandang dengan belas kasihan. Bersimpati dengan nasib yang menimpa Eiman Hamidi. Malah tidak kurang juga ada yang mencemuh. Memandang dengan sebuah pandangan yang sinis.
"Ummi, Eiman sejuk ummi. Eiman sayang ummi. Eiman sayang abah. Eiman tak nak mati sebagai anak derhaka ummi. Eiman minta maaf ummi, abah."
"Apa yang Eiman merepek ni? Bangun sayang. Ummi ada di sini." Dalam sebak, perempuan yang dipanggil ummi itu menggoncangkan tubuh Eiman Hamidi. Ya. Sejuk sekali badan anak itu.
"Abang, Eiman abang."
Terus lelaki itu mendongak muka tatkala perempuan itu memanggil namanya. Air muka lelaki itu berubah. Kelopak matanya bergenang dengan air. Akhirnya, menyembah juga air mata lelakinya itu ke bumi. Laju membasahi pipinya. Membatu di situ. Melihat Eiman Hamidi yang kini kaku tidak bergerak di atas ribaan perempuan yang berkain batik itu.
"Abang cari siapa?"
Imbauan mimpi ngeri itu terus lesap entah kemana tatkala diriku disapa seseorang. Terbang bersama angin yang bertiup perlahan. Nafas di tarik dalam-dalam. Suara itu seperti biasa didengari. Bukankah itu suara yang amat aku rindui selama ini? Dengan berdebar-debar aku memalingkan tubuh ke arah datangnya suara itu. Perlahan dan berhati-hati sekali.
_bersambung_