Blog is still under maintenance. Any inconvenience caused is highly regretted. Stay tuned.

Monday, August 18, 2014

Hinakah Cintaku : Episode 01

R I N D U    T E R P E N D A M


ENTAH mengapa hati kerdilku menghamparkan rontaan debaran tatkala aku semakin menghampiri pintu pagar kayu yang tertutup rapat ini. Nun ditengah-tengahnya jelas sekali sebuah banglo mewah tersergam indah yang dikelilingi pagar batu itu. Sunyi. Sepi. Seperti tiada sesiapa yang berada di dalam banglo itu ketika saat ini. Aku hanya mampu memandang dengan sebuah pandangan yang aku sendiri tidak mengerti. Gembira dan teruja? Sedih dan kecewa? Cemas dan gementar? Atau risau dan takut? Seperti bertaut teguh pada akar-akar jantungku ini.

"Abang cari siapa?"

Hilang entah kemana semua bayangan yang berputar-putar di mindaku sebentar tadi. Detik masa yang tadinya seakan-akan terhenti kembali seperti sediakala. Tertelan air liurku tatkala diri disapa begitu. Degup jantungku menjadi kencang. Seperti mahu terkeluar dari dalam dadaku ini. Ya! Jika saat ini ada doktor yang memeriksa aku dengan stetoskop, nescaya akan pekak sebelah telinga beliau.

Pintu pagar kayu elektrik yang berwarna coklat kehitaman itu terbuka dengan sendirinya. Semestinya ia dikawal dengan alat kawalan jauh. Seketika kemudian, kelibat seorang budak lelaki yang bagiku sangat comel muncul disebalik pintu pagar itu. Bundar matanya. Mulus kulitnya. Tangan kanan memegang gula-gula lolipop yang besar. Tangan kiri pula menggenggam kemas alat kawalan jauh sambil mengepit sebuah robot transformers pada celah ketiaknya. Mendongak dan tersengih-sengih. Aku anggarkan umurnya dalam sekitar 7 tahun.

"Abang nak cari siapa? Kenapa datang rumah saya?"

Lancar soalan yang sama diajukan lagi kepadaku yang masih tidak lekang memandang wajahnya. Miripnya seperti seseorang yang sudah lama aku pendamkan rindu ini. Mana mungkin. Mana mungkin wajahnya sama. Tiba-tiba aku menjadi sebak. Namun aku berjaya menahannya.

"Abang nak gula-gula?" Budak lelaki itu menghulurkan gula-gula lolipop yang dijilatnya sejak dari tadi. Aku hanya menggeleng.

Mata hitamku liar melilau sekitar kawasan rumah banglo itu. Mungkin ada sesiapa yang akan keluar sebentar lagi. Mungkin masa itu juga akan aku tahu siapa pemilik rumah agam ini. Hatiku terdetik.

"Abang ni bisu ke?"

Aku tersentak dengan persoalan itu. Segera aku mengalihkan pandanganku ke arah budak lelaki itu. Sekali lagi aku mengukir senyuman untuk dirinya. Riak wajahnya seperti kehairanan. Aku berjalan beberapa langkah menuju tiang batu besar yang menyokong pagar kayu elektrik tadi. Aku duduk di situ sambil mengeluarkan sehelai kain dari dalam beg sandangku. Lalu aku hamparkan di sebelah. Menepuk perlahan beberapa kali sebagai isyarat untuk budak lelaki itu datang duduk disebelah.

"Kenapa abang pakai rantai dan subang? Lelaki mana boleh pakai. Mama cakap berdosa."

Petah lidahnya bermain dengan kata-kata. Wajahnya yang kosong memandang jauh ke jalan besar seperti bercakap seorang diri. Mungkin dia ternampak tatkala aku menundukkan badanku untuk bersila tadi. Tidak seperti subang yang memang terang-terangan tidak dapat aku sembunyikan. Inikan pula dia duduk disebelah kananku dimana aku menindiknya disitu.

"B. R. A. N. D. E. N. Oh, nama abang Beranda ya?" Tergelak kecil aku mendengarnya. Lain yang dieja, lain yang disebutnya.

"Nama adik, Aqeef."

Budak lelaki yang menggelarkan dirinya Aqeef itu meneruskan percakapannya. Mungkin dia tahu aku sama sekali tidak akan membuka mulutku untuk berborak dengan dirinya.

"Aqeef Uzwair."

Tersengih memandangku. Menampakkan barisan hadapan giginya yang sedikit rongak itu. Geram aku melihatnya. Ingin saja aku mencubit pipinya yang gebu itu.

"Aqeef. Kita letak nama Aqeef ya? Sedapkan nama tu?" Kedengaran suara budak lelaki berbisik-bisik dicuping telingaku.

"Emmm... Sedap. Pandainya dia ni." Disahut pula dengan suara perempuan yang sedikit bergema-gema.

"Nanti bila kakak dah besar dan kahwin, kakak nak bagi nama anak kakak, Aqeef." Sambung perempuan itu lagi

Aku memejamkan mataku rapat. Mengikut suara itu merentas masa. Dalam kesamaran, masih lagi dapat aku lihat. Pangkin usang yang menjadi set lokasi. Seorang budak lelaki yang memakai cermin mata besar sibuk dengan surat khabarnya. Tingkah-lakunya menyerupai karakter seorang ayah. Di satu sudut pula bersimpuh seorang perempuan berbaju kurung dan berkain batik. Anak telekung hitam yang besar menutup rambutnya yang panjang itu. Gayanya tidak tumpah seperti seorang ibu. Dikendongnya sebuah teddy bear. Didodoikan dan dinyanyikan lagu.

"Mama cakap, orang yang paling dia sayang yang berikan nama Aqeef tu. Mama dah lama tak jumpa dia. Mama bagitahu, orang tu jauh dekat sana tu." Aqeef Uzwair menekankan perkataan jauh itu sambil menunding jari kecilnya ke arah awan yang membiru itu.

"Mama selalu cakap, walaupun orang tu jauh, tapi dia dekat dengan mama. Sebab mama simpan dia dekat sini." Aqeef Uzwair mengambil tangan kananku. Menggerakkannya ke dada aku yang bidang. Mendarat disitu. Dihati. "Dekat sinilah."

Berbuku sebak didada. Ditahan selagi aku mampu. Ingin saja aku menangis semahu-mahunya disitu. Segera aku mencapai iPad mini di dalam beg. Menghulurkannya kepada Aqeef Uzwair. Sebagai alasan untuk aku mengalih seketika perasaan ini.

"Nak main game?" Akhirnya aku mula membuka mulut.

"Nak." Cepat sahaja Aqeef Uzwair menjawabnya.

"Aqeef nak main game ape?"

"Abang ada game angry bird tak?"

Aku membuka permainan yang memang menjadi kegilaan budak-budak kecil zaman sekarang. Kuserahkan kepada Aqeef Uzwair. Tersenyum gembira dia menerimanya. Gula-gula lolipop dan robot transformers diberikan kepadaku. Alat kawalan jauh diletakkan di sebelah kirinya.

Setengah jam berlalu. Aqeef Uzwair yang tadinya leka mula menunjukkan tanda-tanda yang dia sudah mulai bosan. Sesekali dia menguap. Sebuah kereta Honda Civic hitam meluncur laju memasuki perkarangan rumah banglo itu. Hon dibunyikan nyaring. Aku sedikit kaget dengan tindakan pemandu kereta itu.

"Yay! Yay! Papa dah balik."

Aqeef Uzwair terus bangun. Dia melonjak keriangan sambil membontoti kereta hitam tadi. Terpancar kegembiraannya. Aku hanya menghantarnya dengan pandangan kosong. Aku bingkas bangun. Menyapu punggungku yang sedikit kotor lantaran duduk di atas batu marmar yang berdebu tadi. Tekaan aku memang tepat. Penghuni rumah agam ini sama sekali bukan penghuni yang pernah duduk disini satu ketika dahulu. Hampa.

"Aqeef! Kan papa dah selalu pesan. Jangan bercakap dengan orang yang kita tak kenal. Yang degil sangat kenapa? Sekarang ni banyak kes-kes culik. Papa tak nak Aqeef kena culik. Faham tak?"

Lelaki yang memakai t-shirt polos berwarna hijau tua itu meninggikan suara kepada Aqeef Uzwair. Keceriaan diwajah budak kecil itu hilang. Apakah salah budak lelaki itu bercakap dengan aku? Aku bukannya penculik. Aqeef Uzwair mula mahu menangis.

"Tapi papa..."

"Sudah. Pergi masuk ke dalam." Terus dipotong kata-kata Aqeef Uzwair. iPad mini aku yang berada ditangan Aqeef Uzwair dirampas kasar.

"Auntie! Auntie!"

Aqeef Uzwair mula menangis. Air matanya mengalir membasahi pipinya yang gebu itu. Entah kepada siapa dia menjerit memanggil Auntie itu.

"Auntie?" Aku pula yang bersoal. Namun hanya didalam hati.

"Kau siapa? Kau nak culik anak aku kan?"

Aku terkejut dengan hemburan itu. Kaku seketika. Cepat-cepat aku gelengkan kepala menafikan tuduhan itu. Lelaki itu berjalan menghampiri aku yang sudah pun memasuki perkarangan rumah semenjak tadi lagi.

"Actually, I'm..."

"Who says you can step on my lawn?" Belum sempat aku menghabiskan ayat, lelaki itu terus membidas kata-kataku. Menayangkan wajah tidak puas hatinya. Marah sangatkah dia kepada diriku ini hanya kerana memasuki halaman rumahnya? "Here is your stuff! Now get lost! I don't want to see your face ever again!"

Pranggg!!!

Bunyi itu menusuk ke jantungku. Berderaian iPad mini aku terhempas ke atas batu marmar. Screen kaca itu retak seribu. Lelaki itu memang sengaja mencampakkannya ke tanah. Apakah tujuannya berkelakuan sedemikian rupa? Adakah dia sudah tahu gerangan diriku yang hina ini?

Aku menyerahkan gula-gula lolipop dan robot transformers kepada lelaki itu. Tidak lupa juga alat kawalan jauh yang ditinggalkan oleh Aqeef Uzwair. "Put it there." Belum sempat aku membuka mulutku, lelaki itu seakan tahu apa yang ingin aku sampaikan kepadanya. "You can throw away that candy. Your dirty hand will make my son sick."

"Kotor? Ya, aku memang kotor dan hina. Aku tahu itu." Tentu saja aku bermonolog di dalam hati kecilku. Aku mahu semuanya berlalu dengan pantas. Dulu, 11 tahun lamanya, disini jugalah aku dihina. Tidakku ingin parut lama terluka kembali.

Aku menggenggam erat batang gula-gula lolipop. Seraya itu, aku melutut untuk mengutip iPad mini yang belum diketahui boleh dihidupkan kembali atau tidak. Bukan aku sayangkan duit untuk membeli dan menggantikan baru gajet tersebut. Cuma aku agak terkilan kerana aku membelinya dengan duit yang aku kumpul sendiri. Duit hasil daripada titik peluhku sendiri.

"Sorry."

Aku menghulurkan tangan untuk berjabat. Namun lelaki itu tidak mengendahkan huluranku itu. Hanya memandang ke arah lain.

"Sorry." Sekali lagi aku mengucapkan perkataan maaf itu. Kali ini, aku membongkokkan sedikit badan tanda hormat aku kepada lelaki itu. Aku memalingkan badanku. Dengan berbekalkan semangat yang ada, aku gagahkan jua untuk pergi dari situ.

"Apa yang bising sangat tu abang Amy? Aqeef ni sampai teresak-esak. Dia cakap abang Amy marahkan dia."

Aku tidak mempedulikan siapakah perempuan empunya suara yang baru muncul di pintu rumah agam itu. Wajahnya juga aku tidak mahu ambil tahu. Langkah kakiku diteruskan. Lagi elok rasanya aku segera beredar dari sini. Getus hatiku.

"Siapa tu abang Amy?"

Nada perempuan itu kehairanan.

"Dia nak culik Aqeef. Nasib baik abang sempat sampai tadi. Kalau lambat sikit, mungkin kita dah tak jumpa Aqeef dah." Jauh sungguh menyimpang andaian lelaki itu.

"Biar betul abang Amy ni. Tak ada gaya macam penculik pun. Tak baik main tuduh-tuduh orang macam tu."

"Abang nampak dengan mata kepala abang sendiri. Budak tu dah pegang Aqeef dah luar pagar tadi."

"Ish! Bahaya tu." Termakan juga dengan andaian yang tak masuk akal lelaki itu. "Jomlah masuk abang Amy. Dah nak malam dah ni." Sambung perempuan itu.

"Kau ni satu hal juga. Anak buah yang seorang tu pun tak pandai nak jaga. Belum masuk dua tiga lagi tu." Bebel lelaki itu.

Aku sudah selamat membawa jasadku keluar dari perkarangan rumah agam itu. Terdetik untuk aku memandang kembali ke arah mereka. Untuk apa? Mungkin sebagai penghormatan disebabkan aku tersalah rumah. Masuk akal juga rasanya. Ngomel fikiranku.

Buat seketika, aku bertentang mata denga lelaki itu. Masih jelas tapak api kemarahan di wajahnya. Hasratku untuk menghadiahkan sebuah senyuman terbantut begitu sahaja.

"Eiman?"

"Abang Eiman!" Perempuan itu menjerit. Segera anak mata hitamku dialihkan ke arah perempuan itu. Aku terpana. Ya Allah! Adakah benar apa yang aku lihat ini? Atau adakah ini hanya ilusi semata-mata?

Mata perempuan itu berkaca. Jelas sekali aku melihat wajah ayu perempuan itu tatkala dia maju kehadapan beberapa langkah. "Abang Eiman kan?" Ada sendu pada getar suaranya.

"Kak Lieya! Ummi! Cepat keluar. Tengok siapa yang datang ni." Lantang perempuan itu melontarkan suaranya ke dalam rumah.

Ternyata lelaki yang menghalau aku sebentar tadi diundang seribu persoalan. Dari jauh, dapat kulihat dirinya yang cuba meneka-neka siapa gerangan diriku yang hina ini. Dahi yang berkerut-kerut, ditambah dengan gerakan bibirnya itu sudah memadai untuk aku berkata sedemikian.

"Abang tak kenal adik?" Perempuan itu ingin menduga.

Aku hanya menggangguk lemah. Tidak kupercaya apa yang terlihat kini. "Eida..." Masih kutahan sebak didada yang mula berombak. "Eimelda Hasanah." Penuh nama tertutur dibibir mungilku.

Eimelda Hasanah mengetapkan bibirnya yang merah itu. Tiada kata yang mampu diungkapnya lagi. Deras air mata mengalir membasahi pipinya. Tidak dapat dibendung lagi perasaan ketika itu. Dilepaskan semuanya.

"Apa yang kecoh-kecoh ni, Eida? Terpekik-pekik senja ni? Elok sangatlah anak dara melolong waktu Maghrib macam ni. Patutlah tak ada lelaki yang nak kat kau." Sekonyong-konyong sesusuk tubuh perempuan yang sudah separuh abad umurnya muncul disitu. Diikuti seorang perempuan keluar dengan perut yang agak memboyot. Langkah dan gerakkannya agak perlahan. Mungkin penat membawa 7 bulan kandungan bersamanya. Aku mengagak. "Dah ni kenapa? Berjurai-jurai air mata tu. Kau dah sawan ke apa Eida? Tadi menjerit tak ingat dunia. Ni dah meleleh-leleh dah. Tangkap leleh ke apa?"

Namun Eimelda Hasanah tidak sedikit pun melatah dengan usikan kedua-duanya. Agak sukar baginya untuk bercakap dengan sendu yang berbaki. Eimelda Hasanah hanya mampu menjuihkan bibir ke arah tegaknya diriku ini. "Siapa tu Ummi? Ummi kenal ke?" Pada masa yang sama, lelaki tadi yang masih tidak berganjak dari tempat dia berdiri mula bersuara kembali. Mahu mengungkai segala apa yang bersarang dibenaknya.

Suasana menjadi sunyi seketika. Aku masih tetap memandang mereka di sana. Begitu juga mereka. Terkaku memandang aku. Aku menyentuh pipiku lembut. Basah. Entah bila air mataku gugur sudah tidak aku hiraukan lagi.

"Ya Allah! Eiman. Eiman dah balik, Lieya. Doa Ummi dah termakbul. Ummi dapat jumpa anak Ummi balik."

Kegembiraan terpancar indah diwajahnya nan menua itu. Sebuah senyuman yang sudah lama aku rindui kini terukir dibibirnya. Menawan sekali. Itu sahaja yang aku mampu katakan. Dengan perlahan perempuan separuh abad itu menuruni seputung anak tangga yang memisahkan ruangan beranda rumah dengan tanah. Dengan hanya berkaki ayam dia melangkah menuju kearah diriku. Kini jelas aku melihat raut wajahnya yang sudah mulai berkedut itu. Anak mata hitamnya tidak dapat menipu diriku. Kerinduan seorang ibu yang dipendamnya selama ini masih disitu.

Sedari tadi, perempuan yang perutnya membulat itu sudah terduduk dilantai. Dia ditenangkan Eimelda Hasanah. "Tu memang abang Eiman kan? Eida tak tipu kak Lieya dengan ummi kan? Eida tak tipu kan?" Dia merangkul leher Eimelda Hasanah. Teresak-esak dalam dakapan adiknya itu. "Siang malam kak Lieya tengok ummi berdoa. Besar sungguh kuasa Tuhan. Doa ummi dah dimakbulkan. Amin."

Agak memeranjatkan tatkala aku terpandang sesusuk tubuh lain menembusi pintu rumah agam itu. Badannya masih tegap seperti dulu. Cuma hari ini dia berkerusi roda. Apa puncanya tidak kuketahui. Terus aku mengatur langkah untuk pergi. Benci? Oh tidak! Bukan aku benci pada dirinya. Hanya tiada kekuatan untuk bertentang mata ketika ini.

"Jangan tinggalkan ummi lagi, Eiman." Terkejut dengan reaksi aku yang spontan memalingkan tubuh, perempuan tua itu terhenti separuh jalan. Berdekatan dengan tempatnya lelaki tadi berdiri. "Amy, bagitahu Eiman jangan tinggalkan ummi lagi. Ummi rindu dekat dia. Ummi sayang dia." Dia menggoncangkan tubuh lelaki tadi. Kuat.

"Eiman."

Garau suaranya. Langkahku terhenti. Bagai dipaku pada tanah lagaknya. Sumpah. Suara itulah yang amat aku rindui selama ini. Dalam tegas, ada lembutnya. Dalam kasar, ada manjanya. Tetapi, bukankah suara itu juga yang mengatakan Eiman Hamidi sudah mati! Kau sudah lupa Eiman?

"Eiman Hamidi. Anak abah."

Aku gagahi untuk berpaling dan memandang sekali lagi. "Abah." Bertahun lamanya aku rindu untuk menyebut perkataan itu. Bagi diriku, hanya satu abah yang layak berada dihatiku. Tiada dua mahupun tiga.

"Mari sini nak. Mari dekat abah. Maafkan abah, ya sayang. Maafkan abah. Abah bersalah dengan Eiman. Abah ikutkan perasaan. Abah berdosa dengan Eiman."

Aku meneguk beberapa kali air liurku. Kakiku masih terkunci disitu. Tiada pula terasa untuk berganjak mendekati mereka. Tiada pula untuk berlalu pergi.

"Bawa abah jumpa anak abah, Amy. Abah nak peluk dia. Abah nak cium dia. Abah nak cakap dengan dia yang abah rindukan dia. Abah rindu dia sangat-sangat. Tiap-tiap hari abah berdoa agar umur abah panjang supaya dapat dipertemukan kembali dengan anak abah. Bawa abah cepat, Amy." Dia memaut tangannya pada tiang pagar beranda. Cuba untuk berdiri. Umurnya yang kian dimamah usia sudah tidak mampu untuk dia berpaut dengan kuat. Akhirnya dia terjatuh.

"Abah!" Serentak semua yang ada disitu menjerit. Berlari semuanya menerpa ke arah jatuhnya tadi.

Terkejut dengan apa yang berlaku, aku berlari mendapatkan abah. Tidak aku hiraukan lantai yang kotor itu. Aku melutut mengadap dirinya. Mata bertentang mata. "Abah, maafkan Eiman. Maafkan Eiman, abah. Eiman rindu sangat dekat abah. Eiman rindu dekat semua orang. Eiman dah lama nak balik. Tapi abah dah buang Eiman dalam hidup abah." Aku menyembamkan muka kedada abah. Teresak-esak disitu. Tangan kasarnya menepuk lembut belakangku. Sesekali dia mengusap rambutku. Diciumnya ubun-ubun kepala aku. Lama. Aku mendongak. Ini kali pertama aku melihat dia menangis sebegitu rupa.

"Abah silap besar bila abah cakap macam tu. Abah tak pernah buang Eiman. Eiman sentiasa ada dalam hidup abah. Eiman jangan tinggalkan abah lagi ya? Eiman janji dengan abah, ya sayang?" Aku mengangguk lemah. Rindu aku sudah terubat.

Aku mendapatkan ummi pula. Memeluk ummi dengan erat. Ummi yang masih tidak berhenti menangis, mula dibanjiri dengan air mata kembali. "Maafkan Eiman, ummi." Sesungguhnya aku rindu untuk memeluk mereka ini. Teramat. Tiada kata yang mampu aku ucapkan lagi. Aku mengalihkan pandangan ke arah Eimelda Hasanah dan kakakku, Eimelya Hafiyah. Aku ukirkan sebuah senyuman untuk mereka berdua. Beralih pula pandangan kepada lelaki tadi. Kali ini, lelaki itu pula yang memberikan aku senyuman. Hilang segala amarah diwajahnya.

"Jomlah masuk dalam rumah. Tak elok Maghrib macam ni duduk luar. Menangis-nangis pula tu." Kata lelaki itu bersahaja.


_bersambung_

Disclaimer. Copyright © 2014 Eiman Hazdy's Blog. All right reserved.

  1. hey. aku jarang komen kat blog orang, tapi, seriously aku suka novel kau ni. penggunaan bahasa kau ni menarik. tak skema and tak casual. please maintain. and aku harap kau maintainkan penggunaan bahasa tu. so far, aku menunggu entry baru. please jangan delay lama sangat and kalau boleh buat short je. best and thanks. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Thanks Encik Miqdad. Actually tak delay. Tapi masa untuk bermesra dengan computer terhad sangat. Hehehe... Apa-apa pun, will looking forward.

      Delete
  2. Replies
    1. Nanti Eiman tambah lagi sedih-sedih tu. Hehehe...

      Delete
  3. gud job.. best sangat.. episode satu dah berjaya tarik perhatian.. tahniah

    ReplyDelete
  4. Wow amazing....first impresstion is important. Congrate keep it up eiman. I like. Dah bookmark ur page so sng nak terjah n capai when u have update. Nice story, it is reality or fantasy? Hahaha apa pun tu tak penting yg penting now nak tahu kesinambungan ceta ni. Nak tahu jg macam mana dia blh berhijrah n mcm mna kisah sewaktu berhijra tu. Look great n interesting. Keep it up...

    ReplyDelete
  5. ringkas namun pengolahan cerita yang berkesan dan menarik... episod pertama yang berkesan...

    ReplyDelete
  6. dari tahun lepas tunggu sambungan cite ni..please buat sambungan cite ni...sangat best giler...

    ReplyDelete